Wednesday, July 07, 2004

BERITA HARIAN



Fitri teruskan kerjaya menyanyi
Oleh Khairull Azleyana Ishak


MOHD Fitri Zainal Abidin, 25, atau lebih dikenali dengan panggilan Fitri, akur dengan pemilihan peminat Akademi Fantasia 2. Biarpun seluruh usahanya dilakukan demi persembahan yang terbaik bagi memancing pengundi, namun nasib tetap tidak menyebelahinya.


Saya sudah buat yang terbaik. Walaupun ketika persembahan, rambut palsu afro yang saya pakai tertanggal, namun saya tetap berusaha memberikan persembahan yang terbaik, itulah kekesalan yang tidak dapat dibendung pereka muda ini.


Namun, ketika nama Zahid diumumkan Aznil sebagai pelajar yang terkeluar pada minggu lalu, saya sendiri terperanjat. Ini kerana Zahid memang sangat menyerlah pada malam itu. Memang tidak patut jika dia yang terkeluar.


Sepanjang empat minggu menjayakan konsert AF2, lagu yang paling sukar buat saya adalah ketika membawakan lagu Jerat nyanyian asal Harvey Malaiholo, kata Fitri yang perkara pertama yang dilakukannya sebaik saja terkeluar minggu lalu ialah mendapatkan telefon bimbitnya.


Dua hari kembali ke dunia biasanya Fitri berkata, setakat ini tidak banyak perubahan yang ketara dalam hidupnya. Tetapi memang tidak dinafikan dia tetap menjadi tumpuan ke mana saja dia pergi.


Saya masih designer di butik saya. Malah saya tidak terfikir langsung hendak menaikkan harga tempahan disebabkan saya finalis AF2. Bagaimanapun saya tetap mahu meneruskan kerjaya sebagai penyanyi, kata Fitri yang sebenarnya masih tidak percaya niat menemani rakannya untuk menyertai uji bakat AF2 menukar corak hidupnya.


Namun saya tetap mahu mengimbangi kedua-duanya. Saya tetap menyintai bidang rekaan fesyen kerana ia adalah dunia sebenar saya. Bidang nyanyian satu bidang baru dan ia sangat menarik. Namun saya tahu banyak yang saya perlu perbaiki. Vokal saya masih perlu digilap hingga mencapai tahap yang terbaik, ujar Fitri.


Bercerita pengalamannya di Akademi, Fitri terdiam seketika. Seakan mengimbas semula kenangan manis bersama 11 rakannya jelas Fitri memberitahu dia begitu merindui mereka, guru dan kelas yang disediakan.


Kelas lakonan adalah kelas yang paling sayang nak tinggalkan. Begitu juga dengan kelas Cikgu Siti Hajar, katanya yang menyifatkan Siti Hajar adalah insan yang paling banyak membantunya.


Ketika uji bakat saya terlupa lirik lagu tetapi dia membantu dengan menyanyi bersama saya. Malah pada konsert minggu lalu, selepas persembahan saya, Cikgu Siti memberikan isyarat bagus kepada peningkatan vokal saya, katanya.


Ketika bersalam dengan Cikgu Siti sebelum keluar dewan, dia memang nampak sedih sangat, tapi apa boleh buat, perjuangan saya cuma sampai minggu keempat saja, katanya.


Walaupun terkeluar, Fitri yakin konsert AF2 akan tetap meriah dengan sambutan jutaan penyokong mereka. Malah dia dan Edlin akan tetap menghadiri konsert dan menyokong rakan yang terus mara meneruskan cabaran dan perjuangan.


Ramalan untuk Top Five? Em... siapa yek? Entahlah tapi sepanjang empat minggu saya bersama mereka, apa yang boleh saya katakan, lima finalis akhir AF2 mungkin milik Zarina, Mas, Zahid, Kaer dan Linda, katanya yang akan kembali bekerja di butiknya secepat mungkin. Posted by Hello

No comments: